TSIS ingin menyatakan penghargaan terhadap sambutan baik masyarakat ke atas kaji selidiknya mengenai kecenderungan pengundi dalam PRK Tanjung Piai.
TSIS menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kaji selidik TSIS adalah perang psikologi menjelang hari pengundian.
Kajian TSIS adalah objektif sepenuhnya, dibuat oleh penyelidik yang neutral dan berwibawa, untuk mengetahui kecenderungan semasa pengundi.
TSIS menyambut baik kenyataan Pengerusi Biro Dasar dan Strategi BERSATU, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, bahawa kaji selidik TSIS mematuhi amalan saintifik daripada segi sampel dan persampelan terutama dengan menggunakan teknik pemilihan rawak.
TSIS hormat kepada beliau kerana menyebut ramalan TSIS sesuai untuk dibaca dan dijadikan panduan, namun pada masa yang sama TSIS menyesali sikap beliau yang mempertikaikan ketepatannya kerana:
(1) Bilangan sampelnya yang dikatakan kecil, iaitu 300.
(2) Tiada petunjuk yang mengukur secara langsung kalah atau menang seseorang calon, sebaliknya ia dikatakan hanya dibuat berdasarkan petanda seperti penolakan dan penerimaan pengundi kepada PH atau MN.
TSIS ingin menegaskan bahawa sesuatu kaji selidik tidak memerlukan sampel yang besar untuk menghasilkan dapatan yang tepat selagi mana pemilihan sampel itu dibuat secara saintifik, dan ini jelas terlihat dalam kaji selidik di Amerika Syarikat yang masih tepat walaupun responden hanyalah 500 atau 1000 berbanding jumlah penduduk lebih 300 juta.
Dapat dilihat kaji selidik di Malaysia memberikan hasil yang salah walaupun menggunakan sampel yang besar, contoh mutakhir adalah dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) ke atas 1142 pengundi dalam PRK Semenyih yang menghasilkan keputusan PH mengatasi BN dengan 9 peratus bila ia mendapat 46 peratus sokongan berbanding 37 peratus sokongan untuk BN.
Bagaimanapun, keputusan sebenar PRK Semenyih membuktikan dapatan kaji selidik IDE ini salah bila BN menang selesa di sana.
Sekarang ini, kaji selidik IDE dipuja puji kerana kononnya lebih tepat dengan menggunakan sampel besar, 1200 responden.
Sekali lagi diuar-uarkan oleh IDE bahawa PH mengatasi BN dengan 9 peratus bila ia mendapat 53 peratus sokongan berbanding 44 peratus sokongan untuk BN.
Apa guna bilangan responden yang besar bila ia tidak bersifat representatif sekali gus menghasilkan dapatan yang salah?
Berhubung dengan dakwaan kaji selidik TSIS tidak tepat kerana tiada petunjuk yang mengukur secara langsung kalah atau menang seseorang calon, TSIS mengaku bahawa kaji selidiknya tidak menanyakan secara rasmi responden soalan mengenai calon yang akan mereka undi.
TSIS berpendapat adalah tidak beretika untuk mana-mana kaji selidik meminta pengundi mendedahkan siapa calon yang akan mereka undi selaras dengan prinsip kerahsiaan undi.
Malah, dalam kaji selidik TSIS didapati bahawa petugas-petugas TSIS sering tidak mendapat kerjasama malah dimarahi oleh responden bila soalan begini cuba diajukan oleh mereka.
TSIS juga berpendirian bahawa jawapan ke atas soalan petunjuk langsung begini tidak akan tepat kerana besar kemungkinan responden yang akan mengundi pembangkang khususnya tidak akan memberikan jawapan yang betul kerana takut dikenakan tindakan atau takut tidak mendapat bantuan.
Sebab itulah petunjuk seperti penolakan dan penerimaan pengundi bukan sahaja kepada pakatan tetapi juga kepada calon adalah indikasi paling jelas ke atas corak undian sebenar mereka, dan dalam kaji selidik TSIS sangat jelas pakatan dan calon yang diterima oleh pengundi ialah MN dan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.
TSIS menyeru pemimpin politik, khususnya dari kerajaan, supaya memandang serius dan tidak memperlekehkan dapatan kaji selidik begini supaya mereka tidak berada dalam sindrom penafian dan sindrom syok sendiri.
Akhirnya, kaji selidik TSIS mendapati majoriti pengundi dalam PRK Tanjung Piai bergelut dengan masalah kehidupan yang serius, tanpa mengira siapa yang menang wajarlah usaha digembleng bagi membantu mereka dengan ikhlas.
Dr Wan Mat Sulaiman
Ketua Pegawai Eksekutif
Terengganu Strategic & Integrity Institute